DEFINISI 1 MALAYSIA


Photo Cube Generator

 

          Konsep “1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan”, telah diperkenalkan oleh Dato’ Sri Najib Bin Tun Abdul Razak setelah beliau secara sah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 pada 3 April yang lalu. 1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat.  Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. 

Dalam erti kata 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Pengertian ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju seperti mana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

1 Malaysia adalah penerusan agenda untuk membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Selain itu,‘ Konsep 1Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing.1 Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi.  Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar dan negara akan makmur.

4 comments: